Pages ( Tabs )

Saturday 9 March 2013

BINTANG BOLA SEPAK MUDA YANG BAKAL MENYINAR

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang pemain muda bola sepak dunia yang berpotensi dan berbakat besar, yang bakal menggegarkan dunia bola sepak akan datang. Messi sudah pun menjadi bintang bola sepak dunia pada usia yang amat muda. Mungkin akan datang, ada yang bakal mengikut jejak langkahnya. Di sini, saya senaraikan bintang-bintang bola sepak yang digelar 'Wonderkids' yang bakal menggegarkan pentas bola sepak dunia. InsyaAllah.

1. Neymar , Santos FC - Penyerang, Sayap Kiri


Neymar da Silva Santos Junior atau dipanggil sebagai Neymar dilahirkan pada 5 Februari 1992 di Mogi das Cruzes, Sao Paulo, Brazil. Pemain berusia 21 tahun ini sudah memenangi beberapa anugerah besar. Beliau pernah dikatakan mempunyai corak permainan seperti Lionel Messi dan bekar pemain terbaik Brazil suatu ketika dahulu, Pele. Beliau berpotensi besar untuk menjadi pemain terbaik dunia kerana bakat serta kebolehannya dalam menggelecek pemain lawan. Tidak mustahil penyerang dari kelab Santos ini bakal menjadi pemain yang terbaik dunia dan beliau harus diberi perhatian.


2. Lucas Moura , Paris Saint Germain FC - Tengah, Sayap Kanan


Lucas Rodrigues Moura da Silva atau dikenali sebagai Lucas Moura dilahirkan di Sao Paulo, Brazil pada 13 Ogos 1992. Beliau kini beraksi bersama kelab yang berbelanja besar iaitu Paris Saint Germain FC dan memakai jersi bernombor 29. Beliau pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United namun menolaknya semata-mata ingin menyertai PSG. Beliau berpotensi besar untuk menjadi pemain terbaik dunia. Berusia 21 tahun, masih muda dan memerlukan pengalaman yang lebih banyak bagi menjadi salah seorang bintang attacking midfielder yang digeruni suatu hari nanti.


3. Stephan El-Shaarawy , AC Milan - Penyerang, Sayap


Stephan Kareem El-Shaarawy atau dikenali sebagai Stephan El-Shaarawy dilahirkan pada 27 Oktober 1992 di Savona, Itali. Beliau berlatarbelakangkan Islam dan keluarganya berasal dari Mesir. Debut pertama beliau bersama pasukan AC Milan ialah pada usia 16 tahun 55 hari ketika menentang pasukan Chievo Verona dan menjadi pemain kelima paling muda beraksi dalam Serie A. Mendapat jolokan "Little Pharaoh" atau "Il Faraone". Pemain berusia 21 tahun ini juga telah menghasilkan 3 debut bersama pasukan Itali dan menjaringkan 1 gol dipentas antarabangsa ketika menentang pasukan Perancis. Mempunyai kemahiran menggelecek dan pantas, menjadikan beliau antara pemain yang bakal menyinar di masa hadapan.


4. Mario Gotze , Borussia Dortmund - Tengah, Sayap


Mario Gotze dilahirkan pada 3 Jun 1992 di Memmingen, Jerman dan kini beraksi bersama kelab Borussia Dortmund sebagai pemain sayap dan tengah serangan (attacking midfielder). Beliau merupakan salah seorang pemain dalam pasukan Jerman ketika ini. Pemain berusia 21 tahun ini telah melakukan 20 penampilan antarabangsa dan berjaya menjaringkan 3 gol. Beliau juga merupakan pemain paling muda yang menjaringkan gol untuk pasukan Jerman iaitu pada usia 19 tahun 68 hari ketika menentang pasukan Brazil pada 10 Ogos 2011. Beliau mempunyai teknik kawalan bola yang baik, selain larian yang pantas dan kreativiti yang tinggi. Pada usia yang muda, beliau sudah pun menempa nama di peringkat dunia dan tidak mustahil bakal menjadi salah seorang pemain sayap bertaraf dunia suatu hari nanti.


5. Raphael Varane , Real Madrid CF - Pertahanan Tengah


Raphael Varane dilahirkan pada 25 April 1993 di Lille, Perancis dan merupakan pemain pertahanan untuk pasukan Real Madrid CF. Pemain pertahanan tengah yang mempunyai ketinggian 191cm ini telah melakukan lebih 20 penampilan bersama pasukan Real Madrid dan berjaya menjaringkan 3 gol. Beliau beraksi bersama pasukan Perancis U18 dan U21 dan menjaringkan 4 gol. Beliau terpilih untuk menyertai pasukan kebangsaan Perancis namun masih belum mendapat caps atau penampilan di pentas antarabangsa. Walaupun begitu, pemain berusia 20 tahun tetap menjadi pilihan untuk beraksi di dalam kesebelasan utama Real Madrid. Beliau mungkin bakal menjadi salah seorang pemain pertahanan tengah terbaik dunia suatu hari nanti.


6. Raheem Sterling , Liverpool FC - Sayap Kanan dan Kiri


Raheem Shaquille Sterling atau lebih dikenali sebagai Raheem Sterling dilahirkan di Kingston, Jamaica pada 8 Disember 1994. Beliau memulakan karier awal di kelab Queens Park Rangers pada usia 10 tahun. Beraksi di posisi sayap kanan dan kiri, beliau mula mendapat debut pertama bersama pasukan Liverpool FC ketika menentang Wigan Athletic pada usia 17 tahun 107 hari. Beliau merupakan pemain yang kedua termuda mendapat debut bersama pasukan Liverpool. Pemain berusia 18 tahun ini, mempunyai larian yang pantas dan teknik kawalan bola yang menarik, menjadikan beliau bakal menjadi pemain terbaik dunia suatu hari nanti. Bakalnya harus diberi perhatian yang lebih oleh pasukan yang diwakilinya.


7. Marc-Andre ter Stegen , Borussia Monchengladbach - Penjaga Gol


Marc-Andre ter Stegen dilahirkan di Monchengladbach, Jerman pada 30 April 1992. Beliau beraksi di posisi penjaga gol dan mewakili pasukan Borussia Monchengladbach. Pemain berusia 21 tahun ini sudah menjadi pilihan pertama pengurus pasukannya mengatasi penjaga gol sedia ada, Logan Bailly. Bailly akhirnya mengambil keputusan berpindah dari pasukan ini. Ini membolehkan ter Stegen beraksi dengan lebih kerap. Beliau akhirnya terpilih menyertai pasukan Jerman dan mendapat 2 penampilan antarbangsa. Dengan ketinggian 190cm, beliau mempunyai potensi besar sebagai penjaga gol yang bakal menyinar di masa hadapan.


8. David Alaba , FC Bayern Munich - Bek Kiri dan Sayap Kiri



David Olakutunbo Alaba atau David Alaba dilahirkan di Vienna, Austria pada 24 Jun 1992. Beliau beraksi bersama pasukan FC Bayern Munich dan memakai nombor 27. Beraksi di posisi bek kiri dan sayap, beliau beraksi bersama pasukan Austria di pentas antarabangsa. Memiliki larian yang pantas dan kemahiran kawalan bola yang baik, beliau menjadi pemain Beyen Munich paling muda beraksi di saingan Bundesliga iaitu pada usia 17 tahun. Di pentas antarabangsa, beliau telah mewakili Austria sebanyak 18 kali dan berjaya menjaringkan 1 gol ketika menentang Kazakhstan pada Kelayakan Piala Dunia 2014. Dengan bakatnya yang besar, beliau berpotensi menjadi bek kiri terbaik di dunia suatu hari nanti. 


9. Isco , Malaga CF - Sayap dan Tengah Serangan


Francisco Roman Alarcon Suarez atau lebih dikenali sebagai Isco dilahirkan pada 21 April 1992 di Benalmadena, Malaga, Sepanyol. Beliau mewakili pasukan Malaga CF dan beraksi di posisi sayap dan tengah serangan. Memulakan karier bersama pasukan Valencia CF dan akhirnya menyertai Malaga CF pada tahun 2011 sehingga sekarang. Beliau menjadi tonggak penting kejayaan Malaga ketika ini. Beliau telah mendapat debut pertamanya bersama pasukan Sepanyol ketika menentang pasukan Uruguay pada 6 Februari 2013. Memiliki teknik kawalan bola yang menarik, membolehkan beliau bakal menyerlah suatu hari nanti jika kerap diberi peluang beraksi.


10. Jack Wilshere , Arsenal FC - Tengah


Jack Andrew Gary Wilshere atau Jack Wishere dilahirkan pada 1 Januari 1992 di Stevenage, England. Beliau memulakan karier di Akedemik Arsenal FC pada usia 9 tahun selepas menjalani latihan jangka pendek bersama kelab Luton Town Youth Programme. Kini, beliau beraksi bersama pasukan Arsenal FC dan memakai nombor 10. Beliau melakukan debut pertama bersama kelab Arsenal pada September 2008 ketika menentang pasukan Blackburn Rovers. Beliau menjadi pemain Arsenal paling muda beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris iaitu ketika usia 16 tahun 329 hari mengatasi rekod yang pernah di pegang Cesc Fabregas. Beliau juga menjadi pemain kelima termuda beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah iaitu pada usia 16 tahun. Beliau telah mendapat 7 caps antarabangsa bersama pasukan "Three Lions" iaitu England. Beliau telah melakukan lebih dari 50 penampilan bersama kelab Arsenal dan kini menjadi tonggak yang cukup penting bagi kelab tersebut. Telah dikaitkan dengan perpindahan ke FC Barcelona. Beliau memiliki kemahiran kawalan bola yang tinggi dan bakal menyinar di masa hadapan.


11. Christian Eriksen , AFC Ajax - Tengah Serangan


Christian Dannemann Eriksen atau Christian Eriksen dilahirkan pada 14 Februari 1992 di Middelfart, Denmark. Beliau mewakili pasukan AFC Ajax dan beraksi di posisi tengah serangan. Beliau muncul pemain termuda beraksi dalam kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika iaitu pada usia 18 tahun baru-baru ini dan menjadi pemain kedua termuda menjaringkan gol di kejohanan Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2011/12 iaitu pada usia 19 tahun. Beliau juga muncul pemain paling muda menjaringkan gol untuk negaranya, Denmark iaitu pada uisa 19 tahun di Kelayakan UERO 2012 mengatasi rekod yang dipegang Michael Laudrup. Beliau Pemain berusia 21 tahun ini mempunyai kemahiran teknikal dan kawalan bola yang menarik. Beliau memasang impian beraksi bersama pasukan Liverpool dan telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab ternama di dunia. Dengan usia yang masih muda, beliau harus diberi perhatian dan bakal menjadi salah seorang pemain tengah terbaik dunia suatu hari nanti.


12. Matija Nastasic , Manchester City FC - Pertahanan Tengah


Matija Nastasic dilahirkan pada 28 Mac 1993 di Valjevo, Yugoslavia. Beliau beraksi di posisi pertahanan tengah dan mewakili pasukan Manchester City FC. Beliau mempunyai keupayaan melakukan umpanan jarak  jauh, kepantasan dan kesabaran yang tinggi. Beliau juga tangkas di udara dan berani melakukan cabaran terhadap pihak lawan. Beliau sudah melakukan 7 penampilan antarabangsa bersama pasukan Serbia dan masih belum menjaringkan gol. Pada usia 20 tahun, beliau masih belum mempunyai pengalaman yang luas untuk menjadi pertahanan yang lebih mantap tetapi beliau harus diberi perhatian yang lebih kerana mungkin menjadi pertahanan tengah yang disegani.


13. M'Baye Niang , AC Milan - Penyerang, Sayap


M'Baye Boubacar Niang atau M'Baye Niang dilahirkan di Meulan, Yvelines, Perancis pada 19 Disember 1994. Berlatarbelakangkan keluarga Senegal, beliau banyak membesar di Perancis. Beliau beraksi bersama pasukan AC Milan dan Perancis Bawah 21 Tahun. Beliau masih belum mendapat penampilan antarabangsa bersam pasukan Perancis. Pada 13 Disember 2012, beliau berjaya menjaringkan gol buat AC Milan ketika kejohanan Coppa Italia pusingan kelima menentang pasukan Reggina. Dengan gol tersebut, beliau telah mencatat sejarah penjaring gol termuda dalam sejarah AC Milan iaitu pada usia 17 tahun 350 hari. Dengan usia yang masih lagi hijau, tidak mustahil beliau bakal menjadi penyerang yang berkaliber suatu hari nanti.


14. Erik Lamela , AS Roma - Tengah Serangan


Erik Manuel Lamela atau Erik Lamela dilahirkan di Buenos Aires, Argentina pada 4 Mac 1992. Beliau beraksi di posisi tengah serangan dan mewakili pasukan AS Roma. Beliau memiliki keupayaan kawalan bola yang menarik dan larian yang pantas. Beliau memakai nombor 8 di AS Roma. Pemain berusia 21 tahun ini sudah membuat debut pertamanya di pentas antarabangsa bersama pasukan Argentina ketika perlawanan persahabatan menentang Paraguay. Dengan usia yang masih muda, beliau perlu digilap bakatnya agar dapat menjadi salah seorang pemain terbaik dunia di masa hadapan.


15. Alex Oxlade-Chamberlain , Arsenal FC - Tengah Serangan, Sayap


Alexander Mark David Oxlade-Chamberlain atau lebih dikenali sebagai Alex Oxlade Chamberlain dilahirkan pada 15 Ogos 1993 di Portsmouth, England. Beliau merupakan produk daripada pasukan akademik Southampton. Pemain berusia 20 tahun ini merupakan anak kepada bekas pemain England suatu ketika dahulu iaitu Mark Chamberlain. Memiliki kelebihan dari segi kepantasan larian dan kawalan bola yang baik, membuatkan beliau akhirnya dibida oleh kelab Arsenal FC pada usia 18 tahun. Beliau telah membuat 8 penampilan untuk pasukan England dan menjaringkan 1 gol ketika menentang pasukan San Marino di Kelayakan Piala Dunia 2014. Dengan usia yang masih muda, beliau mampu menjadi pemain yang bakal menggegar dunia suatu hari nanti jika diberi banyak peluang beraksi di atas padang.


16. Iker Muniain , Athlectic Bilbao - Penyerang, Sayap


Iker Muniain Goni atau Iker Muniain dilahirkan pada 19 Disember 1992 di Pamplona, Navarre, Sepanyol. Beliau beraksi bersama kelab Athletic Bilbao dan beraksi di posisi penyerang. Dengan memiliki kelebihan kawalan dan teknik gelecekkan bola yang menarik, beliau mendapat jolokan "Spanish Messi". Dengan ketinggian 169 cm, beliau tetap menjadi penyerang yang prolifik dan disegani oleh pihak lawan. Beliau mencipta rekod sebagai pemain paling muda menjaringkan gol dalam kancah La Liga pada usia 16 tahun 289 hari. Pemain berusia 21 tahun ini telah melakukan 1 penampilan antarabangsa dan masih belum menjaringkan sebarang gol. Dengan bakat yang dimilikinya, tidak mustahil beliau mampu menjadi penyerang bertaraf dunia suatu hari nanti.


No comments:

Post a Comment